Ahad, 16 Disember 2018, 8 RabiulAkhir 1440H, 12:08:12 PM Laman Utama Hubungi Kami Borang-Borang  
    Keanggotaan  |  Produk & Perkhidmatan  |  Organisasi  |  Profile KBI  |  Peta Laman  

 

 
 
 

 

Bersama Jamaah Memperkasa Ekonomi Ummah

    'Jihad Ekonomi' menjadi seruan yang semakin diberi perhatian. Umat diseru bangkit dan bersatu dalam hal menyusun kekuatan ekonomi ummah. Kita sebenarnya tidak punyai pilihan kerana jika kita bersikap lepas tangan atau tidak ambil peduli, natijahnya umat akan terus mundur ke belakang dalam masa yang sama kekayaan yang dilonggokkan menjadi baja kehancuran diri. Kita perlu bersama memikul tanggungjawab ini ; untuk 'Memperkasa Ekonomi Umat' demi kesinambungan dan 'survival' risalah. Inilah seruan jihad ekonomi yang mahu dicanangkan. Kita sedia maklum agenda ekonomi adalah antara gerak pemula dakwah Rasulullah ketika baginda berada di Madinah. Hasilnya ekonomi berpindah tangan apabila ia berada dalam jangkauan orang Islam maka mudah baginda mencatur risalah dakwah. Secara tidak langsung dominasi Yahudi mudah dinafikan akhirnya mereka tersisih dan wibawa umat terus terpelihara.

    Sungguhpun demikian realitinya tidak semudah yang kita jangkakan, ia tidak berlaku dalam tempoh yang singkat. Menghimpun harta dan meraih rezeki kurniaan Allah memakan masa, dalam tempoh itu ramai yang kecundang kerana tidak tahan dengan 'kilauan' ni'mat harta yang berada di depan mata. Tidak ramai yang sedar bahawa mengurus harta sebenarnya berada diantara amanah dan fitnah, ia terhimpun sekali. Oleh kerana itu urusan mengurus harta ini sering diperingatkan dalam al-Quran; ayat zakat, sedekah dan berbelanja pada jalan Allah sering beriringan dengan amal utama yang lain. Penekanan mengurus harta sama berat dengan solat, jika solat adalah lambang hubungan dengan Allah maka harta itu adalah lambang hubungan sesama manusia.

    Ada sesuatu yang menarik untuk diperhatikan, jika memperkasa ekonomi difahami sebagai menggalakkan umat Islam berniaga maka tentulah ia menyulitkan kerana tidak semua muslim mempunyai kemahiran, masa dan modal bagi menceburi bidang perniagaan. Maka apakah seruan terbaik bagi setiap anggota jamaah menyumbang ke arah agenda memperkasa ekonomi umat? Jawabnya adalah 'berbelanja'. Ini adalah penegasan al-Quran; malah seruan ini selari dengan teori ekonomi moden. Jika wang tidak dibelanja atau kekal dalam simpanan, tidak berada dalam arus pusingan pasaran atau ekonomi semasa ia tidak mempunyai nilai. Ni'mat Allah perlu dizahirkan agar semua manusia dapat merasainya. Berbelanja adalah kunci kata yang diulang beberapa kali dalam al-Quran.

"Wahai orang-orang beriman! Belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah kami kurniakan kepada kamu sebelum tiba satu hari yang tidak boleh ditawar beli, tiada persahabatan mahupun pertolongan. Sesungguhnya sesiapa yang ingkar (terhadap seruan ini) mereka adalah zalim."
(al-Baqarah: 254)

Inilah kaedah mudah bagaimana ekonomi umat dapat diperkasakan, tetapi ramai yang mengingkarinya atau sukar untuk melaksanakannya. Maka jika itulah hal keadaanya ingatlah peringatan Allah:-

"Kamu adalah mereka yang dipanggil untuk membelanjakan harta pada jalan Allah; namun, diantara kamu ada yang kedekut. Dan sesiapa yang kedekut hanyalah kedekut pada dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Kaya dan kamulah yang miskin. Dan sekiranya kamu berpaling (enggan), Dia akan menggantikan kamu dengan orang-orang lain, dan mereka tidaklah seperti kamu."
(Muhammad: 38).

    Bayangkan jika seluruh ahli jamaah menyahut seruan ayat ini dengan menyerahkan harta mereka di atas jalan dan dengan nama Allah; maka tentu kita akan melihat kesan berganda, tentu ekonomi umat akan berpindah tangan, tentu mudah orang Islam mencatur risalah dakwah, itulah doa dan harapan kita. Allah tidak menuntut kita menyerahkan kesemua harta, bukan semua yang mampu berbuat demikian, ada bahagian yang ditentukan menurut kemampuan dan kadarnya. Malangnya kita masih bertangguh dan teragak-agak, yang sekadar itupun masih dihitung-hitung, bimbang jika bahagian yang mahu dibelanjakan menyekat perancangan yang sedia mendatang. Sedangkan janji Allah itu benar dan rezeki itu telahpun ditentukan. Tidak akan berkurang walau sedikit. Sedang kita sibuk menghitung harta dan kekayaan yang tidak seberapa itu (dalam pandangan Allah) umat terus dihina, kebejatan umat terus berlaku akhirnya Islam hilang wibawa dan tidak ada lagi keupayaan untuk bersaing. Kita terus dikalahkan di bumi sendiri dan gelangang persaingan yang kita sendiri cipta. Siapakah yang patut disalahkan kalau bukan kita sendiri, kita bimbang dengan mengekalkan sikap ini kita akan bertukar menjadi 'kedekut' sepertimana yang digambarkan dalam ayat di atas, 'kedekut' adalah lambang kecintaan kita pada dunia (harta) sedangkan kecintaan terhadap dunia inilah merupakan penyakit yang menyebabkan hilangnya wibawa umat Islam akhir zaman. Penyakit yang dimaksudkan adalah 'al-wahnu'; mencintai dunia dan takut akan mati.

    Ironisnya, jika kita menjadi orang yang tidak mencintai dunia maka kita dicap sebagai orang yang menolak dunia atau dengan kata yang lain orang yang rela menjadi miskin dari kaya. Pandangan ini jauh dari benar dan tidak menepati hakikat sebenar. Ramai dikalangan kita tidak dapat membezakan kecintaan terhadap dunia dengan 'mengejar habuan dunia'. Yang dituntut adalah 'mengejar habuan dunia' dan tidak mencintainya, 'mengejar habuan di dunia' adalah satu anjuran Allah, bahkan Allah mengetahui bahawa manusia sedia cenderung dan terdorong pada kesenangan dan kekayaan kerana ia adalah fitrah semulajadi insan, apabila Allah mengajak orang mukmin untuk berjuang di jalan-Nya Allah membuat perumpamaan berikut:-

"Wahai orang-orang beriman! Mahukah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari siksaan yang pedih"
(surah as-saff: 10)

    Allah menawarkan habuanNya dalam bentuk jual-beli kerana manusia itu memang sedia faham keuntungan yang akan diperolehi dalam perniagaan. 'Mengejar habuan dunia' bukanlah perbuatan hina dan keji; yang hina, keji dan melampau itu apabila manusia yang dianugerahkan harta enggan untuk membelanjakannya di jalan Allah. Orang yang enggan/ingkar sebenarnya hanyalah membahayakan dirinya sendiri. Firman Allah;

"Wahai orang-orang beriman! Apahal dengan kamu, apabila kamu diseru untuk melangkah ke hadapan dan berjuang di jalan Allah, kamu berpaut pada bumi? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? Bukankah kesenangan kehidupan dunia itu berbanding dengan di akhirat hanyalah sedikit."
(surah at-Taubah: 38).


    Wahai orang yang diberi ni'mat, ketahuilah kita bukanlah pemilik sebenar harta tadi, kita hanya diberi amanah untuk menjaganya. Setiap ringgit dan sen itu akan ditanya! Ikutilah didikan dan asuhan nabi s.a.w. kepada para sahabat baginda: dunia hanya berada di belakang-belakang unta atau di kehmah-khemah perniagaan mahupun di gudang-gudang tetapi tidak sesekali di hati mereka. Mereka tidak terpaut pada harta. Oleh kerana itu apabila diseru untuk berjuang merekalah yang dahulu tampil kehadapan, mereka adalah dikalangan yang telah teruji- lasak dan kental hati-hati mereka. Mereka menjadi 'banker' perjuangan Islam. Inilah kualiti yang dicari dan dirindukan. Buat masa ini hanya melalui tarbiah jamaah kita dapat melahirkan kelompok yang sebegini, di KBI kita mempelopori inisiatif ini KBI tidak hanya menjadi institusi pembiayaan atau badan kebajikan malah lebih dari itu kita menyeru ahli jamaah khususnya dikalangan ahli ABIM yang aktif untuk menyahut seruan ini, tampil kehadapan menyumbang dan berbelanja sambil memperolehi manfaat yang disediakan. Setiap ringgit jika diniatkan dengan tepat akan memperoleh ganjaran dan pahala yangberpanjangan.


Laman Utama  |  Hubungi Kami  |  Borang-Borang  |  Keanggotaan  |  Produk & Perkhidmatan  |  Organisasi  |  Profile KBI  |  Peta Laman

|Paparan terbaik Internet Explorer 8.0 & Mozilla Firefox dalam resolusi 1024 x 768 mega piksel|
copyright © 2009-2018, Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad | All rights reserved.